Langkah pihak politeknik menempatkan pelajar-pelajar untuk menjalankan Latihan Industri merupakan salah satu langkah yang bijak. Saya pasti ramai dalam kalangan kita tidak menyedari sesebuah syarikat / organisasi yang berkembang maju adalah bermula daripada sistem pengurusan dan pentadbiran yang sempurna, sistematik dan stabil. Latihan Industri yang dijalankan sememangnya memberi kelebihan dan kebaikan berbanding dengan keburukan. Program ini harus diteruskan kerana ianya banyak memberi manfaat kepada pelajar khususnya dan peluang kepada para pelajar untuk memahami alam pekerjaan yang sebenar bagi mendapatkan pengalaman bekerja di sesebuah organisasi firma ataupun syarikat. Dengan adanya latihan sebegini, ianya dapat memberi keyakinan kepada para pelajar untuk menempuhi alam pekerjaan sebenar yang mencabar dan bijak menggunakan peluang yang ada seperti ini. Pendedahan sebegini perlu dimiliki oleh setiap pelajar sebagai persediaan awal untuk bersaing dipasaran globalisasi.
Seterusnya, dengan latihan ini, para pelajar tersebut merupakan bakal pekerja yang berkualiti daripada segala aspek untuk memenuhi keperluan organisasi. Setelah menjalani Latihan Industri selama 20 minggu di Mushin Life Planner, saya memperoleh pelbagai ilmu dan pengalaman yang sangat berharga dan bermakna kepada diri saya. Keberkesanan menjalani latihan industri di Mushin Life Planner sedikit sebanyak dapat memberi saya suatu pengajaran dan galakan yang amat bernilai untuk saya terus maju serta lebih berdaya saing di dalam apa jua bidang yang diceburi. Antaranya cara berkomunikasi yang berkesan merupakan salah satu aset penting yang perlu ada pada diri pelajar kerana segala penilaian yang dibuat oleh seseorang adalah bermula dari percakapan semasa berinteraksi. Akhir kata, dapatlah saya simpulkan di sini bahawa Latihan Industri dapat memberi masa kepada pelajar-pelajar untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
Selain itu, Latihan Industri telah memberi impak yang amat positif dalam membentuk dan melahirkan para pelajar yang berkebolehan dalam aspek pengurusan serta lebih profesional dalam semua aspek. Ianya juga telah mendedahkan pelajar dengan suasana persekitaran pekerjaan yang sebenar. Bukan itu sahaja, malah Latihan Industri selama 5 bulan ini dapat mempertingkatkan lagi keyakinan diri dan keterampilan seseorang itu dalam kehidupan seharian serta apa jua pengalaman dan segala kerja yang telah dipelajari sewaktu menjalani latihan tersebut dapatlah diaplikasikan di alam pekerjaan kelak.